Kenapa anda perlu Hafal 40 Hadith Pendek?
Sejak 11 tahun lalu, saya ada kongsikan setiap hari sekitar jam 10.00 pagi sepanjang Ramadhan tentang siri fiqh sirah, hartanah Muslim, muamalat dan ibrah hadith sahih.
Seperti tahun lepas, saya akan kongsikan bahan tersebut di group WhatsApp ini – 1447H tahun ke-6 kewujudan group – jemput semua sertai WA di link ini: https://chat.whatsapp.com/LHy7hsdykWH2BxTf3nXfB1
Tahun lepas tajuk dipilih adalah 30 Nombor dalam Hadith Nabi SAW. Untuk Ramadhan tahun ini, saya akan kongsikan pula siri coretan tentang 40 hadith pendek yang dinamakan Hafal 40 Hadith Pendek, insya Allah akan berakhir pada 11 Syawal 1447H.
Sebahgian siri ini saya pernah siarkan sepanjang Ramadhan 1441H (April 2020) dengan tajuk Hafal 30 Hadith Pendek dalam 1 Minit. Coretan siri ini sudah diterbitkan pada tahun 2021 dan e-booknya diedarkan secara percuma.
Untuk kali ini, saya akan tambah 10 hadith lagi serta huraian ibrah yang baharu, namun masih mengekal ciri hadith pendek, iaitu:
- Teks hadith pendek antara 2 hingga 10 patah perkataan
- Hadith daripada Sahih al-Bukhari dan/atau Sahih Muslim sahaja
- Diletakkan nama perawi a’la (tertinggi) Sahabat dan takhrij ringkas
- Penjelasan sebab musabab atau riwayat hadith lain yang berkaitan
Selain ingin mencontohi teladan ulama-ulama salaf yang mengumpulkan 40 hadith dalam sesuatu perkara agama, saya berhasrat mengajak diri saya dan semua kita untuk menghafal 40 hadith dalam hayat kita ini.
Untuk renungan, suka saya bawakan muqaddimah Imam al-Nawawi dalam karya “Hadith 40”: “Maka sesungguhnya kami telah meriwayatkan daripada ‘Ali bin Abi Talib, ‘Abdullah bin Mas’ud, Mu’az bin Jabal, Abu al-Darda’, Ibn ‘Umar, Ibn ‘Abbas, Anas bin Malik, Abu Hurayrah dan Abu Sa’id al-Khudri RA daripada jalur (sanad) yang banyak dengan riwayat yang pelbagai bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menghafal kerana umatku 40 hadith tentang urusan agamanya, nescaya Allah akan membangkitkannya pada hari kiamat bersama golongan fuqaha’ dan ulama.” Dalam riwayat lain, “Allah akan membangkitkannya sebagai golongan faqih dan ‘alim.”
Dalam riwayat Abu al-Darda’, “Dan aku (Rasulullah SAW) pada hari kiamat pemberi syafaat dan saksi kepadanya.” Dalam riwayat Ibn Mas’ud, “Dikatakan kepadanya (penghafal 40 hadith), masuklah mana-mana pintu syurga yang engkau mahu.” Dalam riwayat Ibn ‘Umar, “Ditulis sebagai golongan ulama dan dikumpulkan sebagai golongan syuhada’.” Para ulama penghafal hadith telah bersepakat bahawa ia (semua hadith ini) adalah hadis daif walaupun jalur (sanad)nya banyak.”
Seperti tahun lepas, perkongsian tahun ini juga ditaja oleh Jawatankuasa Pembinaan Surau Haji Lateh, iaitu surau di Kg Kelubi Luar, Jitra Kedah yang diwakafkan tanahnya oleh arwah Haji Lateh Din yang dalam projek fasa akhir menyiapkan pembinaannya. Lihat progress terkini di FB: Surau Haji Lateh.
Walaupun serba kekurangan, aras bawah surau ini kini boleh dimanfaat oleh orang kampung untuk hidupkan Ramadhan sejak 2 tahun lepas. Namun, surau masih memerlukan sekitar RM50,000 untuk menyiapkan pembinaan tempat takungan wuduk, cat dan beam longkang.
Moga coretan ini bermanfaat dan dimanfaatkan. Pohon maaf atas kekurangan dan kesilapan. Siiru ‘ala barakatillah.
Prof Madya Dr Najahudin Lateh (Pengrusi Pembinaan)
30 Sya’ban 1447H
p/s Pohon dapat dipanjang-panjangkan